Thursday, July 30, 2009

Dah tau siapa pembunuh?

SHAH ALAM - Siasatan berhubung kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock selesai semalam dan sedia digunakan dalam prosiding inkues yang akan bermula di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Siasatan polis merakam percakapan 77 saksi dan 28 daripadanya merupakan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun kes berkenaan masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, walaupun siasatan lengkap diselesaikan menjelang inkues, polis masih meneruskan siasatan sekiranya terdapat sebarang petanda terbaru yang mempunyai kaitan dengan kematiannya.

“Kita terbuka dalam menerima sebarang laporan dan petunjuk baru, cuma sekiranya sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan kematiannya hendaklah tampil memberi maklumat.

“Polis menyiasat berhubung punca kematiannya dalam membantu mahkamah mendengar inkues,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan lengkap yang dilakukan tidak boleh dihebahkan melainkan proses inkues mahkamah nanti membuat sebarang keputusan.

“Polis tidak menutup kes ini walaupun inkues berjalan, sebaliknya akan menasihatkan Majistret berkenaan perkembangan kes ini sekiranya terdapat unsur lain,” katanya.

Sementara itu, polis masih menunggu laporan pakar-pakar dan mereka berjanji akan menyerahkannya selewat-lewatnya malam ini (semalam) sebelum inkues bermula.

“Setakat ini, baru satu laporan diterima iaitu berhubung laporan Toksilogi daripada Jabatan Kimia manakala laporan daripada Patologi dan bedah siasat akan diterima selewat-lewatnya malam ini (semalam) untuk inkues yang akan bermula hari ini.

“Kita mula menghantar sapina semalam atau pemanggil saksi kepada semua saksi-saksi yang akan membantu kita dalam inkues.

“Jadi esok (hari ini) terpulang kepada Majistret untuk panggil berapa ramai saksi daripada 77 individu itu,” katanya.

Khalid berkata, pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan dengan Pegawai Pendakwaraya dan segala maklumat yang diperlukan itu sudah cukup melainkan jika ada maklumat terbaru yang memerlukan polis melakukan siasatan lanjut.

Sehingga jam 6 petang, polis masih belum menerima sebarang maklumat berhubung siasatan daripada pakar yang dimaksudkan.- Sinar Harian

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...