Sunday, March 20, 2011

Jawapan Kerajaan PAS Kelantan berhubung isu pengharaman judi di Kelantan


Kelantan bertegas tidak membenarkan premis judi
Diterbitkan pada 19 March 2011 Kategori Isu Semasa, Kenyataan Media

Sepanjang seminggu lepas, pihak media begitu ghairah memutar isu pengharaman premis judi di Negeri Kelantan. Meskipun pengharaman itu sudah berlangsung 20 tahun yang lalu, namun ia diperhangatkan semula berikutan Kerajaan Pusat pimpinan Umno meluluskan penjualan loteri Big Sweep. Maka ada parti politik tertentu sudah tidak berpuas hati dengan polisi pengharaman premis judi sejak dasar Membangun Bersama Islam dilaksanakan.

Firman Allah SWT (Al-Quran Surah Al-Maidah 5:90):

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Polisi Negeri Kelantan selama ini adalah berpegang kepada kaedah fekah (qawaid fiqhiyyah ): “mengelak kemudaratan umum lebih utama daripada yang khusus.” Ia selari dengan sejarah pemerintahan Islam yang belum pernah mencatatkan mana-mana kerajaan di bawah mana-mana Khalifah membenarkan aktiviti judi kerana judi itu seolah-olah telah membunuh aktiviti ekonomi rakyat.

Menelusuri sikap tegas Islam berhubung perjudian itu, maka selaku Menteri Besar yang bertanggungjawab terhadap amanah Allah SWT, maka berikutnya disiarkan kembali “kenyataan media” mengenai judi.

Pendirian Kelantan mengenai isu judi


Sebagaimana semua pihak sedia maklum bahawa polisi pentadbiran kerajaan negeri Kelantan sejak 1990 adalah berteraskan prinsip pentadbiran Islam. Dalam isu pengharaman premis judi dan perjudian haram, kerajaan negeri sedia melaksanakan pematuhan kepada ajaran Islam yang tidak membenarkan penganutnya berjudi atau terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan perjudian.

Begitu pula, sebelum pelaksanaan penguatkuasaan larangan premis judi dan aktiviti perjudian dibuat pihak kerajaan negeri turut mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak di luar kerajaan. Antaranya berunding dengan badan-badan NGO dan wakil-wakil dari semua agama seawal 1991.

Hasilnya telah sepakat dan bersetuju dengan hujah bahawa perjudian wajar dilarang atas pendirian bersama bahawa perjudian memberi banyak keburukan daripada kebaikan dan mudaratnya sehingga boleh membawa seseorang itu menjadi muflis, mengalami kerosakan dan kehancuran kerukunan rumah tangga.

Perjudian melupakan ‘akal fikiran’ manusia, menyebabkan manusia hanya berserah kepada ‘nasib’. Apa kata kalau manusia menyerahkan kepada nasib semata-mata dalam semua aktiviti hidup? Pasti akan jahanam dan porak-peranda. Manakala perniagaan dihalalkan kerana berniaga mencetuskan aktiviti rasional manusia.

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan telah diarah menggubal peraturan penguatkuasaan yang tidak membenarkan mana-mana premis menyediakan khidmat perjudian dan aktiviti berkaitan. Penguatkuasaan itu adalah selari dengan bidang kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Adapun berbangkit isu larangan penjualan tiket-tiket loteri big sweep yang dikatakan tidak memerlukan premis tetap untuk dijual, maka dalam isu ini, pihak kerajaan negeri sedia menelitinya dan menyerahkan kepada legal adviser untuk melihat dari sudut perundangan yang ada.
Apa pun, pendirian kerajaan negeri ialah tetap menjaga kesucian ajaran Islam dan mendokong keluhuran undang-undang, selari dengan perlembagaan persekutuan. Natijahnya, apa sahaja bentuk perjudian pasti membawa lebih keburukan daripada kebaikan.

Berkaitan dengan apa yang dihebohkan oleh pemimpin parti politik tertentu yang mengungkit rasa tidak puas hati dengan polisi sedia ada kerajaan negeri berhubung penguatkuasaan larangan premis judi di Kelantan, pihak kerajaan negeri sedia menerima pandangan dan sedia memberi penjelasan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri merakamkan rasa dukacita kerana pihak kerajaan pimpinan Umno-BN di peringkat Pusat sana adalah pihak berkuasa yang meluluskan pelbagai jenis lesen judi sehingga memerangkap umat Islam dan penganut agama lain.

Sekian. Terima kasih.

Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan

Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Kota Darulnaim, Kota Bharu.

12 Rabiulakhir 1432
17 Mac 2011

Terkilan dengan Kerajaan Umno-BN

Apa pun, pimpinan Kerajaan Negeri dan rakyat Kelantan amnya seharusnya terkilan dengan tindakan Kerajaan Pusat yang ditunggangi Umno-BN. Polisinya yang meluluskan lesen judi boleh dianggap menatuhkan maruah umat Islam dan menghina ajaran Islam. Misalnya, di sebalik kelulusan itu dikenakan peraturan kepada setiap premis judi itu agar memasang label ‘dilarang untuk orang Islam’. Apakah agama Islam sahaja yang mengharamkan judi? Sedangkan kita tahu semua agama dan adat budaya kaum di negara ini tidak menerima judi sebagai resam hidup.

Atas dasar itu, Kerajaan Kelantan melahirkan rasa dukcita dengan polisi Kerajaan Umno-BN yang selama ini menghalalkan judi. Polisi itu sebenarnya adalah suatu ajaran sekular yang mencabul nilai kesucian agama Islam.

Sekaligus amalan Kerajaan Umno-BN itu boleh dianggap bercanggah dengan prinsip dan hak kehidupan beragama yang nyatakan dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan, iaitu yang memusatkan kehidupan rakyat berteraskan agama persekutuan (yakni Islam) dan mengamalkan cara hidup mengikut agama masing-masing. Bila agama Islam dan semua agama tidak bersetuju dengan judi, kenapa perlu diluluskan lesen judi. Jelaslah, Kerajaan Umno-BN sudah bertindak di luar konteks kehidupan beragama yang dicanang sendiri oleh perlembagaan persekutuan. Maka jauh sama sekali ia diredai Allah SWT.

sumber:Blogtokguru

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...